fafa's blog

Cinta bukanlah kata murah dan lumrah dituturkan dari mulut ke mulut tetapi cinta adalah anugerah Tuhan yang indah dan suci jika manusia dapat menilai kesuciannya.

biar orang hina diri kita tapi jangan kita hina diri sendiri, biar orang lukakan hati kita, jangan kita sesekali melukai diri sendiri, kita berhak atas diri kita sesungguhnya air mata itu adalah penyampai perasaan dan luahan jiwa..

yA AllAh, ApAbIlA ENGKAU mEmAnggIlkU, AmbIlAh AkU dAlAm kEAdAAn KhUsnUl KhOtImAh dAn sEmpAtkAnlAh AkU mEngUcApkAn kAlImAt "LA ILAHA ILLALLAH"


Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan

15 September 2011

MENCARUT DAN DICARUT ?


Assalamualaikum..
Sila baca ini kenyataan-kenyataan ini :
Mencarut merujuk kepada perbuatan maki-memaki ataupun pengeluaran kata-kata kesat. Secara umumnya, mencarut adalah kelakuan yang tidak membawa sebarang faedah. Perbuatan ini bukan sahaja membazir masa, malah mampu menjejaskan mentaliti pengamalnya.
Selain itu perbuatan mencarut akan mengurangkan rasa hormat orang ramai terhadap diri seseorang. Seseorang itu dianggap kurang beradab, dan mempunyai mentaliti yang kurang matang.
Dalam kebudayaan orang Melayu pula, mereka yang mencarut biasanya dikatakan kurang ajar. Ini membawa maksud yang amat keras, iaitu mempunyai ibubapa yang yang tidak mengajar tertib kepada anaknya disebabkan salah satu sebab iaitu kejahilan, kurang pendidikan, berasal dari keturunan tidak baik, dan lain-lain.
Buruk nampaknya orang lelaki mencarut, buruk lagi kalau perempuan yang mencarut.
Saudara saudari seagamaku, apa kepuasan anda apabila mencarut?  Dalam Islam juga, mengeluarkan kata-kata kesat, cacian dan makian adalah sesuatu yang terhina.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji." (al-Humazah: 1)
Kepada org yang suka mencarut, hentikanlah perbuatan itu. Usaha! Jangan merendahkan martabat anda sendiri dengan mencarut. Jangan dibiarkan lidah anda terbiasa mencarut, takut-takut sampai ke tua, lidah pun sudah liat hendak berhenti mencarut. Jangan sampai orang menutup mata dengan syahadah, kita pula menutup mata dengan mencarut. Nauzubillah...
"Ya Allah, peliharalah lidah kami"

TEGURAN ITU PENTING DALAM KEHIDUPAN.


"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.
Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.
Membina dan Meroboh
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.
Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.
Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?
Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya. ~RENUNGKAN~

Aktifkan Suasana Islam Dalam Keluarga.


Hidup berkeluarga sememangnya diimpikan oleh setiap umat Islam yang beriman. Mempunyai suami dan isteri yang dicintai di sisi adalah keinginan muslimin dan muslimat. Setelah sahnya ijab dan kabul, maka bermula hidup berkeluarga yang penuh dengan warna dan serinya.
Selain daripada kebahagiaan yang dikecap, kita seharusnya mempersiapkan diri dengan cabaran dan ujian dalam hidup yang serba baru itu. Jika dahulu kita hidup dengan suasana bebas untuk melakukan sesuatu, tidak terikat dengan seseorang selain keluarga namun selepas berkahwin tiada lagi istilah hidup bujang.
Tanggungjawab terhadap keluarga bermula sebaik sahaja seseorang itu dikahwinkan. Bermulanya tanggungjawab terhadap isteri, mahupun suami sehinggalah kepada anak-anak. Berkahwin dan berkeluarga amat disukai Rasulullah S.A.W Baginda juga menyarankan agar mempunyai anak yang ramai bagi pasangan yang baik kerana dengan lahirnya ramai anak, maka lahirlah ramai penerus dan penyebar syiar Islam. Menjaga keluarga telahpun diperintahkan secara terus dari Allah S.W.T kepada kita semua. Firman Allah S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (At-Tahrim: 6)
"Anak yang ramai bukan semuanya jadi orang alim pun". Ini antara nada sinis berbaur negatif yang selalu menjadi "mind set" kebanyakan daripada kita. Kenapa tidak anak-anak menjadi soleh dan solehah?. Anak-anak yang soleh solehah inilah yang akan mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya di alam kubur kelak. Doa mereka akan sentiasa mengiringi orang tuanya meskipun mereka telah meninggal dunia. Bukankah anak soleh dan solehah itu suatu kelebihan dan anugerah buat para ibu dan bapa?. Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (riwayat Muslim)
Menghidupkan suasana Islam dalam keluarga atau biah solehah adalah seruan yang dituntut buat kita semua para suami, isteri, dan sesiapa yang bakal berada di alam rumah tangga ini. Jika sejak dari mula perkahwinan "mode Islam" itu diaktifkan, keluarga akan lebih cenderung dan akrab dengan Islam. Adalah wajib untuk mengajar anak-anak ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, serta syariat-syariat Islam yang lainnya.
Jangan bimbang andai tiada harta dunia tetapi bimbanglah andai tiada roh agama dalam keluarga. Taburkan kasih, dan cinta kita kepada pasangan hidup serta anak-anak dengan mencurahkan syariat agama Islam, bukan disuap dengan harta, kebebasan dan keseronokan yang fana. Rasulullah S.A.W bersabda :
"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih), kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi" (riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita bukan lahir dalam keluarga alim ulama'. Bukan dari keluarga wali-wali Allah dan bukan pula dari kalangan mufti-mufti yang benar. Kebanyakan kita adalah orang awam dan biasa. Pun begitu, tidak mustahil bagi kita mewujudkan keluarga yang mencontohi para alim ulama' dan orang-orang yang dekat denganNya. Setidak-tidaknya kita mencuba, dan sekurang-kurangnya kita menjalankan tanggungjawab dalam berkeluarga. Ayuh, bina syurga dunia dengan Islam. Le'ts turn on Islamic mode in our family!
alt

KENALI LUBANG JAHILIYYAH.


Dalam pekat malam itu,
Allah masih lagi menemani,
Memberi satu pengertian yang abadi...
Malam itu, pekat sekali... Atas sebab-sebab tertentu, saya dan Sahibah perlu melalui kawasan padang yang gelap gelita, hanya ditemani cahaya rembulan yang samar.
Mereka yang lalu di situ pun hanya kelihatan seperti bayang. Gelap.
"Jalan hati-hati, tengok bawah. sini banyak lubang." Sahibah berpesan. Habis sahaja ayatnya itu...
"Adui!" Separa kaki saya masuk ke dalam lubang tersebut. Sakit. Tapi malu yang menerpa lebih menebal.
Pantas saya mengeluarkan kaki yang terpelosok ke dalam lubang tersebut. Menyorok sedikit di belakang Sahibah dan berharap tiada siapa yang nampak! (terlupa waktu itu amat gelap).
Esoknya, apabila hari sudah terang.. Kami melalui lagi padang tersebut.
"Haa.. inilah lubang yang Mas jatuh semalam!" Usik sahibah.
Saya diam sahaja, sambil tangan cepat sahaja menepuk-nepuk lengannya. Bagus juga saya tahu yang mana satu lubang yang telah 'menelan' separa kaki saya, teringat pula pada pesan Rasulullah S.A.W :
Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali." [HR Bukhari & Muslim]
Kenali Lubang Yang Anda Terjatuh
Fitrah manusia itu mudah lupa dan leka. Fitrah manusia itu sering berbuat dosa.
Bukanlah anda manusia hebat andai dosa tidak pernah dilakukan, tidak pernah melakukan kesalahan atau tidak pernah gagal dalam kehidupan. Saya percaya semua manusia pasti ada satu 'sejarah' yang tersimpan kemas jauh di sudut hati...
Tidak mengapa... kerana anda adalah manusia hebat apabila anda bangkit dari segala kesilapan itu, terus melangkah dan melangkah... mengejar rahmat Allah yang satu, menggapai cinta-Nya adalah cita-cita yang jitu dan terus-terusan mengumpul air mata merayu pada keampunan-Nya.
Anda adalah hebat, jika anda mengenali lubang yang pernah anda terjatuh!
Duduklah dan muhasabah... Apakah kejahilan yang dilakukan dahulu, lubang-lubang kejahilan itu, kenali sebaiknya.. supaya nanti, apabila anda 'lalui' lagi di kawasan lubang itu, anda mampu mengelaknya...
Hebatnya Allah mencipta suatu rasa tidak enak dalam hati apabila kita ingin melakukan dosa, tetapi kita yang sering memaksa hati untuk melakukan sesuatu yang bukan fitrahnya... Hingga kita terjatuh ke dalam lubang kejahilan.
Namun begitu, jangan bimbang... apabila sudah terjatuh, berusahalah untuk keluar. Yakinlah Allah pasti akan membantu!
Bandingkan Diri Dengan Permata Islam
Mari duduk sejenak dan beriman.
Tak ada satu orang pun manusia yang suka dibandingkan. Saya faham betapa sakitnya hati jika diri dibandingkan dengan manusia lain. Tiada manusia yang sempurna, ya saya tahu.
Namun, untuk muhasabah... Lihatlah pada mereka yang amalnya lebih banyak daripada kita, moga ia menjadi satu inspirasi pada diri kita untuk merasa betapa kerdilnya kita di hadapan Allah. Kalau kita bandingkan diri dengan mereka yang lebih teruk, maka...
"Ish, oklah tu. Baik aku ni, aku solat, dia tak solat."
Ha... di mana muhasabahnya andai diri terus-terusan merasa diri sendiri adalah yang terbaik?
Untuk Muslimat yang dirahmati Allah... Ayuh kita lihat kehebatan cinta Rabiatul Adawiyah kepada Allah, beliau tenggelam dalam keenakan cinta kepada Allah hingga tidak ada cinta dari insani yang berjaya merebut hatinya. Hidupnya serba kekurangan, malah andai beliau terasa selesa dengan nikmat senang, beliau akan menangis kerana bimbang itu adalah istidraj(nikmat yang Allah beri supaya manusia lebih jauh dari Allah).
Suatu hari... Rabiatul Adawiyah dilihat membawa air di tangan kanan dan api di tangan kiri, lantas penduduk bertanya :
"Ya Rabiah, kamu mahu ke mana?"
Dan Rabiah membalas, "Aku mahu membakar Syurga dan memadam Neraka agar ia tidak menjadi penyebab manusia menyembah Allah."
"Ishhhh... saudari, biar betul Rabiah ni boleh bakar Syurga dan padam api Neraka?"
Sabar. Sabar.
Di sini terlihatlah kebijaksanaan Rabiah. Apa yang dilakukan itu hanyalah satu simbolik. Hakikatnya, dia ingin manusia berfikir... Sembahlah Allah kerana Allah semata, ikhlaslah dalam beribadat... Bukan kerana mahukan Syurga atau takutkan Neraka!
Buat Muslimin yang beriman... Sungguh terlalu banyak kisah kaum Muslimin yang mampu dijadikan tauladan, yang paling mulia adalah Rasulullah S.A.W sendiri, tetapi mungkin nanti kalian berkata... Kalian bukanlah Nabi yang suci dan mulia, walaupun telah diperingatkan Allah dalam al-Quran yang suci :
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu. [al-Kahfi : 110]
Tak apa... Mari kita lihat pada satu susuk tubuh bernama Saidina Umar al-Khattab. Saidina Umar juga pernah jatuh ke dalam lubang kejahilan. Pada saat beliau jatuh, beliau adalah seorang yang amat membenci Islam.
Setelah beliau keluar dan mengenal pasti lubang kejahilan itu.. beliau bangkit mempertahankan Islam, malah menjadi salah seorang yang dijanjikan Syurga. Tidak sekali-kali beliau jatuh lagi ke dalam lubang yang sama, kerana beliau sudah mengenal pasti lubang tersebut, senanglah untuk berhati-hati dan mengelaknya.
Beliau menjadi amat rapat dan kasih kepada Rasulullah S.A.W, sehingga apabila Rasulullah wafat, beliau tidak dapat menerima hakikat. Dihunusnya pedang dan beliau berkata :
"Siapa yang kata Rasulullah sudah wafat, aku penggal kepalanya!"
Saidina Umar.... Meski luarannya bengis ibarat singa, namun hatinya sungguh lunak. Dialah khalifah yang berjaga malam, meronda kawasan takluknya, memasak dan memikul gandum di pundaknya sendiri demi rakyatnya yang sedang kelaparan.
Sekarang mari kita meneliti... Siapa kita di hadapan-Nya?
Banggakah kita dengan amalan-amalan yang entah diterima, entah-entah dibaling semula ke bumi?
Mari muhasabah. Kenali lubang-lubang kejahilan dan elaklah sedaya mungkin!
Oh Allah,
Antara berjuta hamba-Mu yang bertaqwa,
Adakah diriku umpama sebutir pasir,
Jauh di pantai sana...
Wallahu'alam

PERBEZAAN PENDAPAT ADALAH SATU RAHMAT.


Islam adalah agama yang menyeluruh. Islam mencakupi semua perbuatan kita di dunia. Daripada makan hinggalah cara membasuh najis juga dititikberatkan oleh Islam. Dalam hal ibadah juga Islam menunjukkan cara yang betul dan sesuai dengan fitrah manusia.
Namun manusia tak semuanya sama. Allah menganugurahkan pelbagai cara manusia berfikir. Kita semua pasti mempunyai pendapat yang berbeza. Pendapat yang pelbagai ini boleh dikongsi untuk dinilai kebaikan setiap pendapat dan dilaksanakan mana yang lebih baik.
Perbezaan yang melahirkan permusuhan.
Malangnya Islam hari ini berpecah kerana berbeza pendapat. Terutama dalam hal dakwah dan pembinaan daulah. Masing-masing terlalu emosi mempertahankan cara mereka hingga sanggup menuduh saudara seagama sendiri salah dan terpesong.
Malah sampai ke tahap mengkafirkan saudara sandiri. Lebih teruk lagi apabila berlakunya pertumpahan darah yang sia-sia kerana terlalu fanatik mempertahankan kefahaman masing-masing. Akhirnya kita sendiri yang rugi dan ketinggalan dalam banyak hal dunia dan hampir semuanya dipelopori oleh orang bukan Islam. Orang Islam dilihat mundur dan hilang kegerunan terhadap mereka.
Method Dakwah Yang Berbeza
Saya tidaklah pandai dalam bidang dakwah. Saya bukan orang yang arif dalam dakwah. Tapi jika ada semboyan yang memanggil untuk memberi tenaga dalam bidang dakwah. Saya akan cuba memberi sepenuh tenaga dan daya saya. Saya melihat ramai para daie yang bergerak dalam jemaah dan cuba mencari kekuatan untuk memberi kefahaman mengikut method dakwah mereka.
Para daie mencari ahli dan membuat kumpulan liqa untuk membari kefahaman yang sebenar tentang Islam dan apa yang ummat ini perlu lakukan. Saya sendiri berubah menyertai beberapa jemaah dan Alhamdulillah, saya lihat cara ini boleh sedikit sebanyak mengenalkan saya dengan agama. Tapi tidak semua kumpulan jemaah mempunyai method yang sama. Ada yang faham Islam hanya boleh dikembangkan dengan politik.
Ada yang faham Islam hanya boleh diperjuang dengan menggulingkan sistem sekarang dan mendaulatkan semula sistem khalifah. Ada yang faham Islam perlu disebarkan dengan mengajak orang lain melakukan dakwah fardhiah. Dan banyak lagi method yang berbeza. Namun malangnya ada di kalangan pendokong Islam ini cuba menenggelamkan jemaah yang lain. Wujud pula situasi persaingan seperti mahu lihat jemaah mana yang lebih hebat. Dan jemaah mana yang paling ramai pengikutnya. Siapakah yang rugi jika ini berlaku?
Bukankah Kita Satu Aqidah?
Bukankah perbezaan ini sesuatu yang sepatutnya baik. Bukan semua orang mempunyai cara yang sama untuk didakwah. Rasulullah SAW pernah menjawab dengan jawapan yang berbeza kepada orang yang berbeza apabila beliau ditanya tentang amalan yang paling afdal. Ini menunjukkan method dakwah tidak semestinya sama. Jadi tidak bolehkah kita menerima method dakwah orang lain kerana mereka juga mengajak orang berbuat kebaikan. Mungkin kita tidak nampak hasilnya seperti yang kita harapkan.
Tetapi kesatuan ummah kini adalah satu keperluan yang memuncak. Banyak bala yang menimpa umat Islam kini adalah kerana kita semua berpecah dan sombong dengan cara masing-masing. Akhirnya Islam dipandang serong dan ,menyukarkan dakwah itu sendiri. Bukankah kita satu agama? Adakah kerana berbeza cara kita tidak boleh bersatu. Bukankah kita menyembah Tuhan yang sama? Apakah kerana sedikit berbeza dalam ibadah sunat membuatkan kita semua bermasam muka. Rugilah kita. Saya masih mentah dalam dakwah. Saya mahu melihat pemimpin dakwah bersatu hati membantu dakwah itu sendiri dan bersama memerangi musuh. Dan saya mahu menyertainya.
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri(pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.(Annisa' : Ayat 59)

05 September 2011

HIKMAH AYAT AL-KURSI MENGIKUT HADIS.




Hikmah Ayat Al-Kursi mengikut Hadis:

1)      Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah disekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap2 sembahyang fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yg benar, pahala nabi2 serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.


Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda:
" Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."