fafa's blog

Cinta bukanlah kata murah dan lumrah dituturkan dari mulut ke mulut tetapi cinta adalah anugerah Tuhan yang indah dan suci jika manusia dapat menilai kesuciannya.

biar orang hina diri kita tapi jangan kita hina diri sendiri, biar orang lukakan hati kita, jangan kita sesekali melukai diri sendiri, kita berhak atas diri kita sesungguhnya air mata itu adalah penyampai perasaan dan luahan jiwa..

yA AllAh, ApAbIlA ENGKAU mEmAnggIlkU, AmbIlAh AkU dAlAm kEAdAAn KhUsnUl KhOtImAh dAn sEmpAtkAnlAh AkU mEngUcApkAn kAlImAt "LA ILAHA ILLALLAH"


15 September 2011

MENCARUT DAN DICARUT ?


Assalamualaikum..
Sila baca ini kenyataan-kenyataan ini :
Mencarut merujuk kepada perbuatan maki-memaki ataupun pengeluaran kata-kata kesat. Secara umumnya, mencarut adalah kelakuan yang tidak membawa sebarang faedah. Perbuatan ini bukan sahaja membazir masa, malah mampu menjejaskan mentaliti pengamalnya.
Selain itu perbuatan mencarut akan mengurangkan rasa hormat orang ramai terhadap diri seseorang. Seseorang itu dianggap kurang beradab, dan mempunyai mentaliti yang kurang matang.
Dalam kebudayaan orang Melayu pula, mereka yang mencarut biasanya dikatakan kurang ajar. Ini membawa maksud yang amat keras, iaitu mempunyai ibubapa yang yang tidak mengajar tertib kepada anaknya disebabkan salah satu sebab iaitu kejahilan, kurang pendidikan, berasal dari keturunan tidak baik, dan lain-lain.
Buruk nampaknya orang lelaki mencarut, buruk lagi kalau perempuan yang mencarut.
Saudara saudari seagamaku, apa kepuasan anda apabila mencarut?  Dalam Islam juga, mengeluarkan kata-kata kesat, cacian dan makian adalah sesuatu yang terhina.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji." (al-Humazah: 1)
Kepada org yang suka mencarut, hentikanlah perbuatan itu. Usaha! Jangan merendahkan martabat anda sendiri dengan mencarut. Jangan dibiarkan lidah anda terbiasa mencarut, takut-takut sampai ke tua, lidah pun sudah liat hendak berhenti mencarut. Jangan sampai orang menutup mata dengan syahadah, kita pula menutup mata dengan mencarut. Nauzubillah...
"Ya Allah, peliharalah lidah kami"

TEGURAN ITU PENTING DALAM KEHIDUPAN.


"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.
Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.
Membina dan Meroboh
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.
Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.
Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?
Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya. ~RENUNGKAN~

Aktifkan Suasana Islam Dalam Keluarga.


Hidup berkeluarga sememangnya diimpikan oleh setiap umat Islam yang beriman. Mempunyai suami dan isteri yang dicintai di sisi adalah keinginan muslimin dan muslimat. Setelah sahnya ijab dan kabul, maka bermula hidup berkeluarga yang penuh dengan warna dan serinya.
Selain daripada kebahagiaan yang dikecap, kita seharusnya mempersiapkan diri dengan cabaran dan ujian dalam hidup yang serba baru itu. Jika dahulu kita hidup dengan suasana bebas untuk melakukan sesuatu, tidak terikat dengan seseorang selain keluarga namun selepas berkahwin tiada lagi istilah hidup bujang.
Tanggungjawab terhadap keluarga bermula sebaik sahaja seseorang itu dikahwinkan. Bermulanya tanggungjawab terhadap isteri, mahupun suami sehinggalah kepada anak-anak. Berkahwin dan berkeluarga amat disukai Rasulullah S.A.W Baginda juga menyarankan agar mempunyai anak yang ramai bagi pasangan yang baik kerana dengan lahirnya ramai anak, maka lahirlah ramai penerus dan penyebar syiar Islam. Menjaga keluarga telahpun diperintahkan secara terus dari Allah S.W.T kepada kita semua. Firman Allah S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (At-Tahrim: 6)
"Anak yang ramai bukan semuanya jadi orang alim pun". Ini antara nada sinis berbaur negatif yang selalu menjadi "mind set" kebanyakan daripada kita. Kenapa tidak anak-anak menjadi soleh dan solehah?. Anak-anak yang soleh solehah inilah yang akan mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya di alam kubur kelak. Doa mereka akan sentiasa mengiringi orang tuanya meskipun mereka telah meninggal dunia. Bukankah anak soleh dan solehah itu suatu kelebihan dan anugerah buat para ibu dan bapa?. Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (riwayat Muslim)
Menghidupkan suasana Islam dalam keluarga atau biah solehah adalah seruan yang dituntut buat kita semua para suami, isteri, dan sesiapa yang bakal berada di alam rumah tangga ini. Jika sejak dari mula perkahwinan "mode Islam" itu diaktifkan, keluarga akan lebih cenderung dan akrab dengan Islam. Adalah wajib untuk mengajar anak-anak ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, serta syariat-syariat Islam yang lainnya.
Jangan bimbang andai tiada harta dunia tetapi bimbanglah andai tiada roh agama dalam keluarga. Taburkan kasih, dan cinta kita kepada pasangan hidup serta anak-anak dengan mencurahkan syariat agama Islam, bukan disuap dengan harta, kebebasan dan keseronokan yang fana. Rasulullah S.A.W bersabda :
"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih), kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi" (riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita bukan lahir dalam keluarga alim ulama'. Bukan dari keluarga wali-wali Allah dan bukan pula dari kalangan mufti-mufti yang benar. Kebanyakan kita adalah orang awam dan biasa. Pun begitu, tidak mustahil bagi kita mewujudkan keluarga yang mencontohi para alim ulama' dan orang-orang yang dekat denganNya. Setidak-tidaknya kita mencuba, dan sekurang-kurangnya kita menjalankan tanggungjawab dalam berkeluarga. Ayuh, bina syurga dunia dengan Islam. Le'ts turn on Islamic mode in our family!
alt

KESALAHAN.


Janganlah membenci ketetapan yang telah menentukan terjadinya sebuah kesalahan, dan janganlah menganggapnya sebagai sesuatu yang begitu buruk hingga kita berputus asa kerananya. Sesungguhnya kesalahan itu dapat menjadi pengantar untuk peroleh suatu kebenaran. Kesalahan juga bisa menjadi sebuah proses yang efektif dalam mempelajari dan meraih sesuatu yang positif. Orang yang tidak pernah melakukan kesalahan, atau tidak mengenal dengan baik tentang hal-hal yang salah, tidak akan pernah benar-benar menghargai nilai sebuah kebenaran serta selok-belok jalan menuju pengetahuan.
Tidak sedikit orang yang sampai pada kebenaran dan kebaikan yang besar melalui pintu kesalahan. Ummul Banin merupakan salah seorang di antaranya. Sebagaimana disebutkan dalam buku Mereka yang Kembali karya Ibn Qudamah (Risalah Gusti, 2000: 196-7), Ummul Banin merupakan putri Abdul Aziz bin Marwan, salah satu penguasa Bani Umayyah. Suatu hari ia dikunjungi oleh Azzah yang bersahabat dengan seorang penyair bernama Kutsayyir.
Lalu ia bertanya pada Azzah, "Wahai Azzah, apa maksud dari perkataan Kutsayyir:
Setiap orang membayar hutangnya
Aku ketahui orang yang meminjaminya
Akan tetapi Azzah orang yang suka mengulu-ulur
Yang suka mempersulit
Kepada orang yang meminjaminya
Hutang apakah yang dimaksudkan oleh Kutsayyir itu?"
Maka Azzah merasa enggan untuk menjawabnya. "Maafkan aku," ujarnya.
"Kamu harus memberitahukannya kepadaku?" desak Ummul Banin.
Maka akhirnya Azzah pun menjawabnya. "Memang dulu aku pernah berjanji bersedia untuk diciumnya, dan dia pun datang kepadaku untuk meminta apa yang telah kujanjikan itu. Akan tetapi, aku merasa berdosa kepada dirinya dan aku sendiri tidak akan mungkin memenuhi janjiku itu," jelas Azzah.
Mendengar penuturan ini, Ummul Banin pun berkata, "Tepatilah janjimu kepadanya dan akulah yang akan menanggung dosanya."
Setelah mengucapkan hal ini, Ummul Banin kemudian tersadar betapa salah ucapannya tersebut. Tak ada seorang pun yang dapat menanggung dosa orang lain. Dengan ucapannya itu, ia telah mendorong orang lain untuk melakukan perbuatan dosa.
Ia telah melakukan sebuah kesalahan yang besar. Sebuah perkataan yang ringan saja, hanya sebuah kalimat yang terdiri atas beberapa buah kata, tapi ia bisa menjerumuskan orang lain pada perbuatan dosa. Dengan kalimat itu, ia sendiri telah melakukan sebuah dosa dan kesalahan.
Lalu ia pun menyesal. Ia memohon ampun pada Allah dan menebus kesalahannya itu dengan cara memerdekakan empat puluh hamba sahaya. Ia juga menangis setiap kali teringat akan ucapannya, sampai-sampai menjadi basah kerudungnya disebabkan lelehan air mata. Lalu ia berkata, "Mengapa tidak bisu saja mulutku ini ketika aku mengatakan hal itu?"
Sejak saat itu ia berubah menjadi seorang ahli ibadah. Ia selalu solat malam dan senang berkumpul dengan para wanita ahli ibadah. Semoga Allah merahmatinya.
Ummul Banin telah melakukan kesalahan, tapi ia kemudian menyesalinya. Ummul Banin telah terjatuh pada sebuah kesalahan, tapi kesalahan itulah yang terus membawanya pada kebaikan yang besar. Kesalahan tetaplah sebuah kesalahan. Akan tetapi cara kita merespon kesalahan itu dapat memberi perbezaan yang sangat bererti. Respon yang salah akan membawa seseorang pada kesalahan dan keburukan yang lebih besar lagi. Respon yang tepat mampu menghantarkan pada perbaikan diri dan keberhasilan.
Inilah yang dimaksud oleh Ibn Taimiyah ketika menjelaskan bahawa semua yang ditetapkan Allah adalah baik, lalu murid-muridnya bertanya, "Apakah yang demikian itu (kebaikan, pen.) juga termasuk untuk qadha' (takdir) dosa?" Maka beliau menjawab, "Benar, tapi dengan syaratnya." Dan syaratnya adalah menyertai kesalahan dan perbuatan dosa itu dengan sesuatu yang disukai Allah, berupa penyesalan, taubat, ketundukan dan tangisan (Ketika Allah Menguji Kita, Tarbawi Press, 2010: 251-252). Wallahu a'lam bish showab.
alt
ARTIKEL ILUVISLAM..

BERHENTI BERBOHONG .. BOLEH ?


Banyak kali kau ulang ikrar kau kata tak nak buat lagi dah, konon-konon tak nak buat perkara yang sama selama-lamanya, tetapi kau masih buat juga.
Banyak kali kau cakap nak berubah, tapi tak berubah-ubah.
Banyak kali kau janji nak pegang kuat-kuat. Tapi, apa sudah jadi? Janji entah ke mana, engkau entah di mana!
Berhenti menipu boleh tak? Kau bijak berkata-kata bila orang tanya.
Engkau kata :"I hate liars!", tidak pula kau laungkan "Aku paling pantang dengan penipu!"
Takkan kau hanya pintar mengatur baris merungkap kata je? Hari-hari kau sebut ayat yang bermaksud ini:
"Sesungguhnya sembahyangku ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah semesta alam."
Sedarkah kau setiap kali kau menyatakan ayat ini kau sebenarnya sedang membuat janji?
Dan sesungguhnya janji kau kepada Allah itu adalah besar dan wajib kau penuhi?
Tetapi di mana perginya semua janji-janji kau?
Bila kau diberi ujian sedikit, kau mula menyalahkan takdir. Bila kau ditimpa musibah, kau mula persoalkan kenapa orang lain tidak mengalami musibah yang sama? 
Saat itu kau tidak menyedari lidahmu lancar mengutuk Sang Pencipta Yang Maha Esa.
"Kenapa Allah buat macam ni? Aku benci hidup ini!" Itu lah kata-kata yang acapkali kau jeritkan ketika kau susah.
Tetapi sedarkah kau sedang membuat salah yang besar kepada Allah?
Mungkin kau kata, bila kau buat salah kau sentiasa bertaubat, tetapi kenapa kau ulang balik kesalahan kau?
Agak-agak lah kan, waktu kau bertaubat dulu, kau minta pengampunan sebab apa? Sebab nak hapus dosa dan nak masuk syurga je? Kau janji tadi, kau hidup kerana Allah. Kenapa kau tak minta pengampunan kerana nak kan keredhaan-Nya?
Oh mungkin kau fikir Allah kan Maha Pengampun. Ya, memang Allah itu Maha Pengampun. Sudah tu, kenapa engkau selalu ambil kesempatan?
Allah berfirman yang bermaksud:
"Nabi Yaakub berkata: "Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" ( 12 : 98)
Ya, ini bukti kukuh bahawa Allah S.W.T itu Maha Pengampun. Tetapi adakah ini bermakna kau dibenarkan mengulangi kesalahan yang sama berulang-ulang kali? Tahu kah kau bila Malaikat Izrail akan datang untuk tarik nyawa kau? Macam mana jika sedang kau melakukan kemungkaran, nyawa kau ditarik?
Wahai diri, kenapa tidak kau jawab persoalan-persoalan itu? Kenapa kau terkelu?
Tidak malukah engkau hidup di atas bumi Allah walhal hidup kau masih bergelumang dengan dosa? Sedarkah kau hidup kau tidak mendapat rahmat dan barakah-Nya? 
Selagi lagi tanganku menggigil, menangisi diri ini yang sangat kotor mengenangkan betapa peritnya azab Allah di sana nanti. Allah, Ighfir zunubi, Ya Ghafur. Ighfir zunubi.

terima kasih kerana pernah hadir dalam hidupku...~

KENALI LUBANG JAHILIYYAH.


Dalam pekat malam itu,
Allah masih lagi menemani,
Memberi satu pengertian yang abadi...
Malam itu, pekat sekali... Atas sebab-sebab tertentu, saya dan Sahibah perlu melalui kawasan padang yang gelap gelita, hanya ditemani cahaya rembulan yang samar.
Mereka yang lalu di situ pun hanya kelihatan seperti bayang. Gelap.
"Jalan hati-hati, tengok bawah. sini banyak lubang." Sahibah berpesan. Habis sahaja ayatnya itu...
"Adui!" Separa kaki saya masuk ke dalam lubang tersebut. Sakit. Tapi malu yang menerpa lebih menebal.
Pantas saya mengeluarkan kaki yang terpelosok ke dalam lubang tersebut. Menyorok sedikit di belakang Sahibah dan berharap tiada siapa yang nampak! (terlupa waktu itu amat gelap).
Esoknya, apabila hari sudah terang.. Kami melalui lagi padang tersebut.
"Haa.. inilah lubang yang Mas jatuh semalam!" Usik sahibah.
Saya diam sahaja, sambil tangan cepat sahaja menepuk-nepuk lengannya. Bagus juga saya tahu yang mana satu lubang yang telah 'menelan' separa kaki saya, teringat pula pada pesan Rasulullah S.A.W :
Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali." [HR Bukhari & Muslim]
Kenali Lubang Yang Anda Terjatuh
Fitrah manusia itu mudah lupa dan leka. Fitrah manusia itu sering berbuat dosa.
Bukanlah anda manusia hebat andai dosa tidak pernah dilakukan, tidak pernah melakukan kesalahan atau tidak pernah gagal dalam kehidupan. Saya percaya semua manusia pasti ada satu 'sejarah' yang tersimpan kemas jauh di sudut hati...
Tidak mengapa... kerana anda adalah manusia hebat apabila anda bangkit dari segala kesilapan itu, terus melangkah dan melangkah... mengejar rahmat Allah yang satu, menggapai cinta-Nya adalah cita-cita yang jitu dan terus-terusan mengumpul air mata merayu pada keampunan-Nya.
Anda adalah hebat, jika anda mengenali lubang yang pernah anda terjatuh!
Duduklah dan muhasabah... Apakah kejahilan yang dilakukan dahulu, lubang-lubang kejahilan itu, kenali sebaiknya.. supaya nanti, apabila anda 'lalui' lagi di kawasan lubang itu, anda mampu mengelaknya...
Hebatnya Allah mencipta suatu rasa tidak enak dalam hati apabila kita ingin melakukan dosa, tetapi kita yang sering memaksa hati untuk melakukan sesuatu yang bukan fitrahnya... Hingga kita terjatuh ke dalam lubang kejahilan.
Namun begitu, jangan bimbang... apabila sudah terjatuh, berusahalah untuk keluar. Yakinlah Allah pasti akan membantu!
Bandingkan Diri Dengan Permata Islam
Mari duduk sejenak dan beriman.
Tak ada satu orang pun manusia yang suka dibandingkan. Saya faham betapa sakitnya hati jika diri dibandingkan dengan manusia lain. Tiada manusia yang sempurna, ya saya tahu.
Namun, untuk muhasabah... Lihatlah pada mereka yang amalnya lebih banyak daripada kita, moga ia menjadi satu inspirasi pada diri kita untuk merasa betapa kerdilnya kita di hadapan Allah. Kalau kita bandingkan diri dengan mereka yang lebih teruk, maka...
"Ish, oklah tu. Baik aku ni, aku solat, dia tak solat."
Ha... di mana muhasabahnya andai diri terus-terusan merasa diri sendiri adalah yang terbaik?
Untuk Muslimat yang dirahmati Allah... Ayuh kita lihat kehebatan cinta Rabiatul Adawiyah kepada Allah, beliau tenggelam dalam keenakan cinta kepada Allah hingga tidak ada cinta dari insani yang berjaya merebut hatinya. Hidupnya serba kekurangan, malah andai beliau terasa selesa dengan nikmat senang, beliau akan menangis kerana bimbang itu adalah istidraj(nikmat yang Allah beri supaya manusia lebih jauh dari Allah).
Suatu hari... Rabiatul Adawiyah dilihat membawa air di tangan kanan dan api di tangan kiri, lantas penduduk bertanya :
"Ya Rabiah, kamu mahu ke mana?"
Dan Rabiah membalas, "Aku mahu membakar Syurga dan memadam Neraka agar ia tidak menjadi penyebab manusia menyembah Allah."
"Ishhhh... saudari, biar betul Rabiah ni boleh bakar Syurga dan padam api Neraka?"
Sabar. Sabar.
Di sini terlihatlah kebijaksanaan Rabiah. Apa yang dilakukan itu hanyalah satu simbolik. Hakikatnya, dia ingin manusia berfikir... Sembahlah Allah kerana Allah semata, ikhlaslah dalam beribadat... Bukan kerana mahukan Syurga atau takutkan Neraka!
Buat Muslimin yang beriman... Sungguh terlalu banyak kisah kaum Muslimin yang mampu dijadikan tauladan, yang paling mulia adalah Rasulullah S.A.W sendiri, tetapi mungkin nanti kalian berkata... Kalian bukanlah Nabi yang suci dan mulia, walaupun telah diperingatkan Allah dalam al-Quran yang suci :
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu. [al-Kahfi : 110]
Tak apa... Mari kita lihat pada satu susuk tubuh bernama Saidina Umar al-Khattab. Saidina Umar juga pernah jatuh ke dalam lubang kejahilan. Pada saat beliau jatuh, beliau adalah seorang yang amat membenci Islam.
Setelah beliau keluar dan mengenal pasti lubang kejahilan itu.. beliau bangkit mempertahankan Islam, malah menjadi salah seorang yang dijanjikan Syurga. Tidak sekali-kali beliau jatuh lagi ke dalam lubang yang sama, kerana beliau sudah mengenal pasti lubang tersebut, senanglah untuk berhati-hati dan mengelaknya.
Beliau menjadi amat rapat dan kasih kepada Rasulullah S.A.W, sehingga apabila Rasulullah wafat, beliau tidak dapat menerima hakikat. Dihunusnya pedang dan beliau berkata :
"Siapa yang kata Rasulullah sudah wafat, aku penggal kepalanya!"
Saidina Umar.... Meski luarannya bengis ibarat singa, namun hatinya sungguh lunak. Dialah khalifah yang berjaga malam, meronda kawasan takluknya, memasak dan memikul gandum di pundaknya sendiri demi rakyatnya yang sedang kelaparan.
Sekarang mari kita meneliti... Siapa kita di hadapan-Nya?
Banggakah kita dengan amalan-amalan yang entah diterima, entah-entah dibaling semula ke bumi?
Mari muhasabah. Kenali lubang-lubang kejahilan dan elaklah sedaya mungkin!
Oh Allah,
Antara berjuta hamba-Mu yang bertaqwa,
Adakah diriku umpama sebutir pasir,
Jauh di pantai sana...
Wallahu'alam